Pensyarah pertikaikan-Apa kewajaran guru isi pelaporan PdPR
Oleh itu, ini membawa maksud untuk tiga bulan akan datang, mahu tak mahu PdPR ( pengajaran dan pembelajaran dalam rumah) dalam akan diteruskan.
Perlu ditambah baik.
Setelah melalui PdPR 1.0 dan PdPR 2.0 dan kemudian PdPR 10 hari ditambah 25 hari, adalah didapati bahawa amalan PdPR perlu ditambah baik segera supaya keberkesanan pengajaran dan pembelajaran dapat dicapai.
Setakat pengumuman Perdana Menteri bahawa sektor pendidikan akan terus ditutup sehingga September 2021, belum ada kenyataan daripada pihak KPM tentang apakah langkah yang akan segera diambil untuk meningkatkan keberkesanan pelaksanaan PdPR.
Terdapat tiga perkara utama dalam pelaksanaan PdPR yang perlu diberikan perhatian segera oleh pihak KPM.
Pertama, birokrasi sistem pelaporan PdPR oleh guru-guru kepada pihak JPN, PPD dan sekolah sepatutnya dipermudahkan.
Amalan sekarang, guru-guru diarahkan mengisi berbagai borang seperti borang penyertaan murid dalam PdPR dan pelaporan eviden PdPR.
Semua pelaporan ini perlu dilakukan setiap hari oleh guru-guru bagi setiap mata pelajaran yang diajar.
Apakah kewajarannya? Bolehkah urusan ini dipermudahkan sedangkan kita semua tahu para guru sudah cukup terbeban dalam melaksanakan PdPR.
Ini hanya sebahagian beban amalan pelaksanaan PdPR yang semakin menjadi keluhan para guru.
Tidakkah amalan ini boleh dipermudahkan? Misalnya disepadukan supaya hanya satu pelaporan sahaja untuk semua pihak berkaitan?
Kedua, salah satu isu utama PdPR dalam talian ialah ketidakhadiran murid-murid dalam sesi PdPR.
Selain tidak mempunyai akses Internet yang stabil, berdasarkan tinjauan penulis sendiri, ramai guru-guru mengakui sebahagian murid-murid sudah mengalami ‘keletihan PdPR’.
Mereka seperti sudah bosan dan tidak lagi bermotivasi untuk hadir dalam sesi PdPR bersama guru-guru mereka.
Kehadiran ke sesi PdPR merosot di kalangan murid-murid yang berprestasi rendah.
Ini sepatutnya diberikan perhatian oleh pihak KPM. Bagaimana untuk meningkatkan kembali motivasi pembelajaran pelajar? Misalnya dengan meningkatkan kemahiran pengajaran guru dalam PdPR dalam talian.
Malah JPN dan PPD juga boleh melakukan program pertukaran guru PdPR di mana guru sekolah berbeza dijemput untuk mengajar secara dalam talian di sekolah yang lain.
Selain itu PPD juga boleh anjurkan pertandingan kuiz setiap mata pelajaran antara sekolah. Misalnya, anjurkan Pertandingan Kuiz Matematik Sekolah Rendah Peringkat Daerah secara dalam talian.
Ini boleh meningkatkan motivasi dan mengalakkan pembelajaran dalam talian menjadi lebih menarik.
Ketiga, PdPR dalam talian bukanlah pilihan terbaik walau diakui berkesan. Ramai murid-murid yang tidak mampu memiliki peranti dan masih ada yang tidak mempunyai akses kepada Internet.
Oleh itu peranan Didik TV KPM perlu segera ditambah baik kandungan programnya. Manakala sekolah pula mengambil peranan mencetak bahan-bahan nota dan latihan tambahan untuk diedarkan pada murid-murid untuk menyokong pembelajaran mereka supaya terus berlaku di rumah.
Penambahbaikan PdPR yang akan diteruskan sehingga September 2021 mesti dilakukan segera oleh KPM.
* Dr Anuar Ahmad ialah Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan & Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan, UKM.