Mengulas lanjut, beliau yang juga bekas Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi (MTEM) berkata, jika menggunakan penanda aras sedemikian, sekolah yang mendapat gred baik akan sentiasa berada di kedudukan terbaik dan ia jelas salah dan mengelirukan.
Katanya, untuk menjadi sekolah terbaik sudah pasti pihak sekolah akan terus berusaha memastikan mendapat gred yang baik, namun bagaimana pula dengan sekolah yang berada di kedudukan bawah.
“Di sini tujuan asal sebenar persekolahan jelas sudah tidak sama, dan sudah lama saya membantah mengenai perkara ini.
“Saya bukan bimbang mengapa ramai calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 mendapat gred yang baik walaupun tidak ke sekolah akibat COVID-19.
“Apa yang membimbangkan saya apabila Menteri Kanan (Pendidikan) memaklumkan pencapaian pendidikan menunjukkan peningkatan, malah yang terbaik sejak 2016 dan berada di landasan yang betul,” katanya.
Bagaimanapun Noor Azlan berkata, banyak kajian dan laporan yang dibacanya menunjukkan ramai rakyat Malaysia masih rendah tahap kemahiran, kurang berbakat, tingkah laku bermasalah, kekurangan kemahiran digital, sukar mengambil risiko, lemah kemahiran komunikasi dan banyak lagi.
Katanya, itu jelas menunjukkan sistem pendidikan negara bermasalah.
“Saya juga keliru Menteri Kanan (Pendidikan) memberi tabik hormat dan menyifatkan calon SPM 2020 generasi hebat berdasarkan pencapaian gred mereka.
“Ini adalah isyarat palsu. Pendidikan jauh melebihi gred yang ada pada kertas.
“Ini jelas mengenai watak, sikap, keinginan untuk berjaya, berinovatif, budaya keusahawanan, kesiapsiagaan berdepan alam realiti dan banyak lagi,” katanya.
Justeru beliau amat berharap, akan berlaku perubahan dalam sistem pendidikan negara dan bukan kaedah penilaian.
“Saya tidak mempersoalkan kaedah penilaian dan pemarkahan kerana ia bersifat teknikal. Apa yang saya bimbangkan adalah mengenai sistem pendidikan,” katanya.