CIMB penaja utama Liga super 2020

cimb bank,

Yah, sotong kurita yang akan menjadi penaja utama dalam saingan liga super 2020.

CIMB Group Holdings Berhad hari ini menandatangani perjanjian penajaan selama dua tahun, bersama Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sebagai penaja utama bagi saingan Liga Super.

Ini merupakan julung kali CIMB melakar nama sebagai penaja Liga-M dan menerusi perjanjian itu juga menjadikan CIMB sebagai penaja utama aksi Piala Sumbangsih selain CIMB Bank Berhad, muncul sebagai bank rasmi bagi kesemua jenis kejohanan dalam saingan Liga-M.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Tengku Zafrul Aziz yang berbangga dengan kerjasama bersejarah tersebut berkata, fokus kedua-dua entiti itu adalah untuk mencipta pengalaman baru dan menarik buat penyokong.

“Dengan sukan bola sepak yang mempunyai lebih dari 20 juta peminat di negara ini, ia bukan sahaja menjadi sukan tempatan paling popular, tetapi menyediakan peluang strategik untuk mendekatkan diri dengan masyarakat.

“Sememangnya bola sepak adalah medium yang boleh menyatukan rakyat Malaysia, yang terdiri daripada semua kaum dan pelbagai latar belakang sosial. Apa yang turut menjadi tarikan adalah peluang memberi penghargaan kepada pelanggan CIMB, yang berpeluang menerima pelbagai tawaran dan inisiatif,” katanya dalam kenyataan MFL hari ini.

Namun, sama seperti perjanjian penajaan ditandatangani MFL bersama Telekom Malaysia Berhad (TM) menerusi anak syarikatnya TM Multimedia (TMM) pada Jumaat lepas, badan pentadbir Liga-M itu enggan mendedahkan jumlah nilai tajaan tersebut.

Sementara itu, Presiden MFL Hamidin Mohd Amin dalam kenyataan sama, memuji sokongan diberikan CIMB selain menyifkatkan MFL dan CIMB berkongsi matlamat sama, dalam perkembangan dan kemampanan dalam pelan induk masing-masing.

“MFL begitu gembira dan mengalu-alukan kehadiran CIMB sebagai rakan baharu kami dalam Liga-M. MFL dan CIMB jelas berkongsi matlamat sama dalam pelan induk masing-masing jadi inilah sebabnya kami merasakan hubungan kami ini telus dan gembira melihat perjanjian ini dapat direalisasikan,” katanya.

Pelanggan CIMB dan pemegang kad kredit layak menerima diskaun khas tiket, serta keistimewaan lain yang akan diumumkan kelak, selain pelbagai inisiatif dan aktiviti buat peminat akan diadakan seperti klinik bola sepak dan sesi beramah mesra bersama bintang bola sepak tanah air.

Leave a Reply

Enable Notifications OK No thanks