1 gigabit data harian secara percuma hingga Disember 2021
KUALA LUMPUR – Mengambil kira kepentingan kemudahan internet pada masa kini, terutamanya ketika pandemik Covid-19, kerajaan bersetuju melanjutkan pemberian satu gigabit data harian secara percuma sehingga 31 Disember ini.
Menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kemudahan yang dianggarkan bernilai RM500 juta bakal memanfaatkan 44 juta pelanggan berdaftar di seluruh negara.
“Ketika ini kemudahan internet boleh dianggap utiliti keperluan asas bagi hampir semua aktiviti harian termasuklah bagi pembelajaran, bekerja dari rumah, pembelian barangan secara dalam talian dan perkhidmatan kerajaan serta swasta.
“Sehubungan itu, sukacita saya umumkan, syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi utama negara telah bersetuju untuk melanjutkan pemberian 1 gigabit data harian secara percuma sehingga hujung tahun ini.
“Kemudahan ini yang dianggarkan bernilai 500 juta ringgit bakal memanfaatkan 44 juta pelanggan berdaftar di seluruh negara,” katanya pada Pengumuman Khas Pemulih, hari ini.
Selain itu, Muhyiddin turut mengumumkan perkhidmatan bank bergerak telah dilancarkan pada bulan ini di Sarawak dan Bank Simpanan Nasional akan memulakan kemudahan tersebut di Sabah pada bulan Julai.
Jelasnya, kerajaan akan menawarkan peruntukan sebanyak RM18 juta untuk bank tempatan menyediakan kira-kira 30 unit Bank Bergerak di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
“Ini bakal merangkumi 250 kawasan dan mukim di luar bandar. Melalui inisiatif ini, saudara dan saudari boleh mengakses pelbagai perkhidmatan perbankan termasuk pembukaan akaun; penyimpanan, pengeluaran dan pemindahan wang, pembayaran bil serta perbankan digital,” jelasnya. – MalaysiaGazette