LPPSA wajar beri moratorium – CUEPACS

adnan mat

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyarankan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) menangguhkan sementara pembayaran balik pinjaman perumahan penjawat awam sama seperti dilaksanakan institusi kewangan di bawah selian Bank Negara. Harap dapat dipertimbangkanlah, sebab memang semua terkesan untuk kali keberapa dah nih.

Presidennya, Adnan Mat, berkata alasan bahawa penjawat awam dan pesara tetap menerima gaji serta pencen penuh bagi menampung perbelanjaan bulanan termasuk membayar pinjaman LPPSA tidak lagi relevan digunakan agensi milik kerajaan terbabit untuk menolak pemberian moratorium.

“Diingatkan tidak semua pasangan penjawat awam bekerja dalam sektor kerajaan dan dianggarkan lebih 50 peratus bekerja dalam sektor swasta, berniaga secara kecil-kecilan selain menjadi suri rumah sepenuh masa.

“Ada dalam kalangan mereka yang kehilangan kerja, terjejas pendapatan dan tidak lagi boleh berniaga berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berterusan sejak tahun lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Adnan berkata, kebanyakan penjawat awam memohon pinjaman LPPSA dengan mengemukakan pendapatan bersama pasangan masing-masing bagi membolehkan pembiayaan diluluskan.

Jelasnya, jika mereka tidak berbuat demikian, sudah tentu pembiayaan terbabit sukar mendapat kelulusan apatah lagi dengan harga kediaman yang mahal ketika ini.

Beliau berkata, jika LPPSA membenarkan penangguhan bayaran pinjaman dilakukan, penjawat awam yang terkesan akan mempunyai lebihan pendapatan, yang boleh digunakan untuk merancang kembali kewangan serta membantu keluarga dalam kesusahan.

“CUEPACS merasakan LPPSA tidak wajar menolak pemberian moratorium dengan menggunakan alasan gaji penjawat awam dan pencen pesara kerajaan masih lagi dibayar penuh.

“Tambahan pula agensi kerajaan yang lain seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) turut melaksanakan moratorium.

“Pihak bank seperti Bank CIMB turut memberikan moratorium kepada pekerja mereka yang bergaji di bawah RM4,000 walaupun gaji mereka masih dibayar seperti biasa,” katanya.

Justeru, CUEPACS sekali lagi menggesa kerajaan dan LPPSA mempertimbangkan secara serius terhadap keperluan menangguhkan sementara bayaran balik pinjaman perumahan untuk penjawat awam sama seperti bank swasta yang tidak dikawal oleh kerajaan secara langsung.

 

Enable Notifications OK No thanks