Permohonan pelajar ke sekolah khusus bermula 10 Okt hingga 15 Nov 2021

pksk

Bagi yang masih belum tahu, dimaklumkan bahawa permohonan untuk memasuki sekolah khusus untuk Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat tahun 2022 boleh dibuat bermula 10 Oktober (ahad ini ) hingga 15 November nanti. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya telah memperkenalkan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK).

KPM memaklumkan PKSK diperkenalkan bagi tujuan pemilihan murid untuk kemasukan ke Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat sekolah khusus.

“Permohonan dalam talian ini melibatkan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) bagi Tingkatan Satu dan Empat, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) bagi Tingkatan Satu dan Empat, Sekolah Menengah Teknik (SMT) bagi Tingkatan Empat, Kolej Vokasional (KV) bagi Tahun 1 KV dan Maktab Tentera Diraja (MTD) bagi Tingkatan Empat.

“Semua pemohon boleh membuat semakan pusat pentaksiran bagi Tingkatan Satu dan Empat secara dalam talian bermula dari 1 Disember 2021,” kata KPM.

Pentaksiran ini bermula dari 17 hingga 27 Januari 2022 bagi Tingkatan Satu dan 7 hingga 17 Februari 2022 bagi Tingkatan Empat.

Komponen yang akan ditaksir ialah kecerdasan insaniah (20%), kecerdasan intelektual (70%) dan artikulasi penulisan (10%).

Bagi pelajar Tingkatan Satu, permohonan boleh dibuat di https://spskt1.moe.gov.my dan bagi pelajar Tingkatan Empat melalui pautan https://spskt4.moe.gov.my.

Syarat permohonan kemasukan ke sekolah khusus adalah warga negara Malaysia, mendaftar dalam Sistem Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) KPM, Murid Tahun Enam Tahun 2021 (berumur 12 tahun atau lahir pada 2 Januari 2009 hingga 1 Januari 2010 dan Murid Tingkatan Tiga Tahun 2021 (Berumur 15 tahun atau lahir pada 2 Januari 2006 hingga 1 Januari 2007).

KPM memaklumkan keputusan pemilihan murid ke Sekolah Khusus akan diumumkan pada 15 Mac 2022.

Enable Notifications OK No thanks